Sufi Music

Kelas Sulam Manik

Sunday, June 26, 2011


Di tempat perumahan kami (Taman Cuepacs Kajang) telah ada Dewan Komuniti  (bagi Daerah Kajang) dimana aktiviti-aktiviti bagi kaum wanita boleh diadakan di sini.   Bagi permulaan pada  25 Jun 2011, Ahli Jawatan Kuasa telah mengadakan  Kelas Menjahit Manik di mana salah seorang Ahli Komuniti, Puan Hasnah, sudi menyumbangkan bakatnya  untuk dimanfaatkan oleh kaum Ibu/Wanita setempat.  Sambutan bagi kali pertama ini mendapat sambutan di luar jangkaan, dimana lebih kurang 30 orang telah menghadiri kelas ini.  InsyaAllah kelas seterusnya diharap akan mendapat lebih sambutan dari penduduk setempat sekiranya dapat diuar-uarkan pada rakan-rakan lain. 











Semoga ahli-ahli dapat manfaatkan ilmu yang diterima, nampaknya pada  Aidil Fitri tahun ni semua pakai baju berblink-blink, atau ada yang akan mengambil tempahan!!!!......Kak Nah bila lagi nak adakan kelas tambahan?

CUTI SEKOLAH BERMULA

Thursday, May 26, 2011

Salam Ukuwah......cuti sekolah bermula hari ini bagi sekolah-sekolah di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.  Selamat bercuti!!!!!...tapi bukan untuk anak Akak (MRSM Langkawi)....malam ini bermulalah kelas tambahan sehingga  30 Mei ni....  Kelas tambahan ni bagi pelajar-pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima bagi persediaan untuk menghadapi pepereksaan pada akhir tahun ini.  Kami sudah tempah tiket penerbangannya pada pagi Selasa.  Seronoknya...bukan apa  riuh sikit di rumah.  Almaklumlah cuti sekolah ni, Mira anak Akak mengambil kesempatan bayar tidurnya dan berchating dengan kawan-kawannya sehingga  jam satu kedua pagi.  Kerja rumah tak payah nak ceritalah. Akak tanya pada kawan-kawan yang anak mereka duduk di asrama memang  begitulah malas nak buat kerja rumah.

Sebut sahaja cuti sekolah, setiap minggu ada sahaja jemputan kenduri kahwin,satu hari sehingga ada 3 jemputan.  Hmmmm...terpaksa buat pilihan yang mana patut pergi dahulu, mana tidaknya satu majlis di Putrajaya, satu majlis lagi di Taman Melawati dan satu lagi di Cheras. Selamat menyambut menantu bagi kawan-kawan semua dan juga bekas Bos.  Tapi pada 4 Jun ni anak jiran depan rumah mengadakan majlis kenduri, sebagai jiran kita perlu membantu dari awal majlis sehingga majlis habis.   



      

Koleksi Kenangan

Tuesday, May 24, 2011

Sebelum ni Akak tidak ambil pusing sangat barang-barang lama yang ditinggalkan oleh Arwah Abah/Emak. Masa tu tak nampak lagi nilai barang-barang ni, cuma sebagai kenangan, kononnya, Akak ambil satu sahaja sebagai contoh.  Diantaranya:


 Setereka ini, banyak kenangannya dan jasanya, setiap hari Ahad adalah hari menggosok baju sekolah.  Tugas pertama yang perlu dibuat, ialah membakar arang untuk dimasukkan ke dalam sterika.  Kalau kurang panas, tambah arang dan kipaskan.  Awas, masa mengipasnya kena berhati-hati ditakuti percikan api akan jatuh atas baju yang digosok.                                                               
                                             
 
Pingat yang pernah Arwah Abah terima ketika bertugas sebagai polis pada tahun 50-an dulu.




Gelas ini tertera Federation of Malaya Police


Di antara koleksi pinggan yang masih tersimpan, dan pinggan ini adalah pinggan-pinggan yang Arwah Emak  beli pada tahun 50-an




Misyen jahit tangan berusia lebih 50 tahun (pengayuh tangannya disimpan)




Utih, kucing kesayangan dalam kenangan

Monday, May 16, 2011

Lebih seminggu kucing kesayangan kami mati, dan kehilangannya amat terasa kerana Utih suka mengacau kami makan dan pantang panggil nama dia, mulalah buat bising, kembang-kembang tapak kakinya nak dimanjakan.

Sebenarnya kami ada 3 ekor kucing kacukan Siam dari satu ibu, Utih (jantan) Nino dan Chombi (betina).  Ketiga-tiga kucing ini memang manja dengan kami.  Umur kucing-kucing ni  9 bulan pada 20 April lalu.

Nino (depan), Utih (tengah) dan Chombi (belakang)


Utih kegemarannya makan ikan rebus disamping makan  ready-made lain kerana Utih kuat makan dan beratnya ia lah 4 kilo.  Pada minggu lalu, Utih agak pendiam, ingatkan dia demam tapi  badannya tidak panas.  Pada keesokkannya,  lebih kurang jam 5 pagi, kami dengar Utih muntah, macam susah sangat dia nak mengeluarkan muntahnya.  Pada pagi tu dia tiada selera hendak makan dan muntahnya banyak keluar air warna kuning.  Kami beranggapan dia keracunan makanan, kami bawa ke klinik, Utih hanya diberi ubat anti biotik dan ubat vitamin.  Disamping itu Doktor mencadangkan kami beli air kelapa untuk meneutralisekan  racun dalam badan Utih.  Menjelang malam Utih  nampak tidak bermaya kami ingat mungkin kerana tak makan.

Esoknya, Hari Ahad, Utih nampak tidak bermaya, cuma berbaring.  Ubat yang diberi habis dimuntah semula dan mulutnya berbuih dan muntahnya keluar air  kuning. Menjelang Maghrib, kami lihat Utih semakin tenat.  Kami pangku Utih sambil mengusap-usap badannya, sambil kata padanya yang kami sayang dia dan cuba beri air kelapa tapi keluar semula.  Lepas itu kami lihat telinganya tegak, badanya  bergerak-gerak, rupanya itulah tanda nyawanya nak habis.  Kaki depan dan belakang kejang dan akhir sekali  bulu ekornya kembang dan merengkok kebelakang.   Tanpa disedari air mata mengalir melihat Utih  pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya.
Utih, membawa banyak kenangan kepada kami sekeluarga,  tiada lagi mendengar suara ngiaunya lagi, riuhnya bila minta makan dan pandai urut, sunyinya rumah kami setelah Utih tiada.  Nino dan Chombi jarang mengiau.

Utih dalam kenangan

Koleksi Kesayangan

Wednesday, May 11, 2011

 Ini adalah koleksi kesayangan dimana pada mulanya hanya sebagai simpanan biasa .Apabila telah bertambah jumlah yang tersimpan,  maka sayang pula untuk digunakan .......
Koleksi Cenderahati
Koleksi Cenderahati

Koleksi  cawan  mini

Koleksi mug
   Mug ketika Commonwealth Games 1998 dimana terdapat tandatangan  mantan PM kita Dato Seri Dr Mahathir Mohamad
Mangkok Nasi itu adalah hadiah ketika Temasya Sukan (1966) sekolah rendah di Jenderam.
Diantara koleksi teko

Pengalaman Aneh di Langkawi

Saturday, March 12, 2011

Bila buka  sekolah, selalunya Akak dan suami sahaja yang akan hantar Miera balik ke asramanya. Tetapi pada kali ini Akak  bawa  kedua-dua abangnya kebetulan mereka masih bercuti panjang  dari kolej masimg-masing.  Kami berada di sana selama 3 hari dua malam dan menyewa hotel  di Pekan Kuah.

Selama kami berada di Pulau ini, banyak tempat pelancungan yang dapat kami singgah dan kami juga sempat singgah di rumah Mak Andak (Emak saudara suami)  di Kelibang.  Kami banyak menghabiskan masa  meronda-ronda mengelilingi Pulau melalui jalan sepanjang  Air Hangat, Ewa, Ulu Melaka  dan Kedawang.
Pada hari ketiga, kami menghantar Miera untuk pendaftaran dan menghantar beg pakaiannya ke Asrama.

Lepas itu kami keluar semula pergi makan dan last shopping.  Hampir jam 6 petang kami menghantar Miera semula balik ke Asramanya.  Kami bertolak dari Asramanya lebih kurang 6.30 petang untuk ke Airport. Maka hendak dijadikan cerita,  (flight kami jam 10 malam), anak Akak yang sulong  mencadangkan bersembahyang maghrib mana-mana mesjid yang kami jumpa on the way ke Airport.  Semua setuju, cuma Akak sahaja tidak bersetuju kerana  bercadang bersolat di Surau Airport sahaja.  Dalam Akak  berselisih pendapat dengan anak  Akak,  kami pun lalu di depan mesjid disalah sebuah kampong di situ dan  azan pula tengah berkumandang.  Kami pun berhenti.

Selesai berwudhuk, Akak pun cari pintu masuk ke bahagian solat wanita, tiada seorang pun jemaah perempuan.  Semasa masuk ke dalam Mesjid, Akak berpaling kekiri,  ada sebuah bilik tetapi tidak berpintu dimana terdapat  satu  kabinet ditepi dindingnya.  Di atas kabinet dilonggokkan telekong-telekong yang tidak berlipat.  Akak berkata dalam hati, mengapalah kaum wanita di sini tidak melipat semula dan disusun kemas-kemas selepas digunakan.  Untuk solat, Akak ambil tempat disudut kanan sekali berdekatan dengan jemaah lelaki dimana terdapat lebih kurang 30 orang.  Kain telekong dalam beg dikeluarkan dan diletakkan  di atas sejadah  sambil ambil towel muka untuk mengelap baju yang basah.  Lepas itu baru pakai telekong.  Masa rakaat kedua, semasa rukuk Akak rasa  tidak sedap hati bila rasa terdapat kelainan pada kain telekong.  Dalam hati tertanya  bila masa pula Miera tukar kain telekong atau terambil kain telekong Akak.  Lepas beri salam, Akak terus membelik kain telekong,  Akak termenung sekejap mengapa kain telekong ini nampak macam lusuh dan sulam dikaki kain tidak pernah dilihat dan Akak memang pasti kain telekong ini juga bukan Miera punya.  Mula rasa seram, dan cepat-cepat tanggalkan kain telekong tersebut tapi tidak lipat balik cuma telekong sendiri Akak lipat untuk dimasukkan semula dalam beg.  Amat memeranjatkan kain telekong (sendiri punya) yang Akak telah dikeluarkan bersama telekong tadi elok terletak kemas dalam beg,   Apa lagi naik bulu roma, cepat-cepat bangun tidak sempat berwirid ikut Imam, sambil berjalan laju, kain telekong (entah mana datangnya) tadi Akak campak ke dalam bilik tersebut.
Di  Kompleks Kraftangan Langkawi, Jalan Teluk Yu
Keluar dari pintu Mesjid,  Akak nampak sebuah kereta baru sampai untuk singgah bersolat. Mereka terdiri lima sekeluarga.  Perasaan takut hilang seketika dengan kehadiran mereka dan beberapa  orang lagi yang baru sampai.. Akak berdiri di halaman Mesjid sambil menunggu suami dan anak-anak Akak selesai bersolat.  Dalam kereta baru Akak bercerita pada mereka, mereka tidak percaya.  Pengalaman yang baru Akak lalui tadi Akak bercerita pada salah seorang pekerja am perempuan di Airport, dan dia memberitahu kebanyakkan Mesjid disana terletak bersebelahan tanah perkuburan dan Akak memang perasan, nampak kubur betul-betul  ditepi dinding (berpintu cermin)  dimana letaknya tempat jemaah perempuan sembahyang.
Hingga kini Akak masih tertanya-tanya waktu bila kain telekong 'ditukarkan' dan Akak hanya perasan bila rukuk rakaat kedua.  Akak memang pasti  Telekong dan kain Telekong telah dikeluarkan dari dalam beg bersama towel muka.


Di pintu masuk Makam Mahsuri
Indahnya pemandangan laut diwaktu pagi berdekatan Kompleks Pekan Rabu, Kuah.

KLIA, Jumaat, 18 Februari 2011

Sunday, February 27, 2011

Hari itu agak sibuk sedikit kerana  membantu anak Akak membuat persiapan terakhir sebelum beliau berangkat ke Sydney untuk melanjutkan pelajaran di bawah tajaan MARA.  Beg bagasinya telah disiapkan dan segala dokumen-dokumen yang perlukan  dibawa bersama dan lap-topnya diletakkan di dalam satu beg.  Selepas anak Akak balik dari bersembahyang Jumaat, Akak mengingatkan untuk bersiap awal ke KLIA, tapi dia  sibuk berchatting di FB.  Hampi jam 3.30 petang baru kelam kabut bersiap.  Kami bertolak ke KLIA jam 4 petang.
Lebih kurang jam 7.00 petang baru anak Akak selesai check-in bagasinya dan dia memberitahu jam 7.30 semua pelajar-pelajar pada hari itu  akan diberi taklimat.   Kami menyangkakan selepas taklimat ibubapa  dibenarkan berjumpa dengan anak-anak kami semula rupanya....... apa lagi kami jadi kelam kabut, kerana  masa tulah dia nak  berjumpa kawan dia dan waktu yang sama  berjumpa keluarga yang datang menghantar.  Hmmmmm...Akak rasa terkilan juga tidak dapat  ambil gambar  bersama-sama kerana ketika itu jam sudah menunjukkan jam 7.30 malam.    

Bergambar bersama Toknya yang turun dari Perlis
Senang nak mengenalinya, hanya dia seorang sahaja yang berkopiah

CATATAN RAMPAIAN

MAMAQRM
Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template for Bie Blogger Template Vector by DaPino